Isnin, 2009 Julai 06

Hukum Horoskop

Pagi tadi aku menerima email ini dan aku agak terkejut dengan yang dimaksudkan oleh email tersebut. Email tersebut mengandungi isu yang telah dibincangkan melalui sebuah rancangan di TV9.

Lebih mengejutkan aku lagi apabila salah sorang panel tersebut memaklumkan bahawa membaca horoskop walaupun suka-suka maka solatnya tidak diterima selama 40 hari.
Ya Allah Ya Tuhanku.. Aku selalu jugak membaca ruangan tersebut terutama seawal pagi sebelum memulakan kerja. Berikut aku masukkan kandungan email tersebut untuk rujukan dan renungan kita bersama.

SOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.

Pensyarah fakulti Syariah dan Undan! g-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang.

Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad.

Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

Jelas amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan perkara main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum Islam,' katanya.

Katanya, perkara itu juga jelas daripada hadis riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 'Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari.'

Perbahasan mengenai minat masyarakat hari ini terhadap ilmu ramalan termasuk membaca horoskop dibincangkan Nik Salida bersama Al-Fadhil Kadi Daerah Temerloh, Badli Shah Alauddin, dalam program Halaqah terbitan TV9 yang disiarkan malam Ahad lalu dengan tajuk Bintang 12.

Program yang mengulas mengenai ayat 105, surah an-Nahl, mengajak penonton menghindari perbuatan berjumpa atau mempercayai tulang tilik dan tukang ramal kerana Allah memberi amaran mengenai golongan pembohong itu. Nik Salida berkata, tidak dinafikan ramai yang mengatakan tujuan mereka membaca ramalan bintang adalah suka-suka tetapi amalan bermula daripada suka-suka itu akhirnya menyebabkan mereka menjadi obses seterusnya terpengaruh dengan apa yang dibaca.

Katanya, ada kalangan masyarakat hari ini yang melanggan ramalan bintang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengetahui apa yang diperkatakan mengenai nasib mereka atau perkara bakal dilalui mereka setiap hari, minggu atau bulan.

Sedangkan, perbuatan itu bukan saja merosakkan akidah malah menyebabkan hidup mereka tidak keruan kerana pengaruh ramalan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada aktiviti atau perancangan mereka pada hari itu.

'Jika tidak percaya atau untuk suka-suka kenapa hingga melanggan SMS horoskop.
Maknanya bangun pagi kita mahu tengok apa yang diramalkan untuk kita hari itu.
Begitu juga dengan membaca di akhbar dan majalah, kenapa kita hendak tahu ramalan.
'Jika katanya dalam bab rezeki apa yang diperoleh tidak setanding kerja dilakukan, maka akan timbul pe rasaan malas buat kerja sebab rezeki yang dapat sikit saja.


Kesan ramalan ini bukan saja pada akidah, juga aspek psikologi.

'Daripada suka-suka itu juga apabila kebetulan perkara diramalkan itu benar berlaku ia mula menerbitkan kepercayaan yang akhirnya menyebabkan mereka jatuh ke lembah kepercayaan perkara karut-marut ini,' katanya. Badli Shah berkata, golongan yang percaya kepada Bintang 12 atau ramalan tukang tilik mengenai untung nasib atau hari baik dan tidak adalah mereka yang tidak percaya ketentuan Allah serta ciptaannya.

Beliau berkata, Allah sudah memberi amaran mengenai golongan itu di dalam al-Quran di mana Allah murka dan mengatakan mereka sebagai golongan pembohongan serta penipu kerana mendahului takdir Allah.

Katanya, apa yang dikhuatiri ialah disebabkan ramalan itu umat Islam lupa bahawa setiap sesuatu yang terjadi itu adalah dengan izin Allah dan ini memberi kesan daripada sudut akidah mereka.

'Jika Allah tidak izinkan perkara itu berlaku, ia tidak akan jadi.


Tukang ramal pusinglah daun terup atau biarlah burung dia bercakap tetapi tanpa izin Allah tidak akan berlaku. Malangnya kita tengok, zaman moden ramai yang kembali percaya dan mencari petunjuk daripada zodiak,' katanya.

Katanya, kepercayaan kepada ramalan terutama tukang tilik dan ahli nujum boleh mendatangkan kesan negatif seperti menyebabkan pergaduhan antara suami isteri, permusuhan sesama jiran atau sahabat karib.

Contohnya, isteri yang diberitahu mengenai sikap suami atau ramalan bahawa suami akan berkahwin lagi pastinya menyebabkan berlaku perbalahan dan paling malang lagi jika perkara itu tidak benar sama sekali.

Rasulullah SAW turut berdepan dengan kelompok masyarakat Arab yang taksub dengan ramalan dan kiraan bintang hingga Baginda menyebut akan tiga golongan itu terdiri daripada mereka yang mampu meramal bintang, meramal barang hilang dan melakukan ramalan berdasarkan pergerakan bintang di langit.

Malah, Baginda SAW pernah didatangi beberapa orang yang meminta Baginda meramal masa depan orang Arab tetapi Baginda memberitahu, jika diketahui perkara ghaib nescaya dirinya sudah mendapat kemewahan serta terlepas dari musibah.

Mengulas mengenai sejarah Bintang 12, Badli Shah berkata, kepercayaan itu berasal dari Mesopotania, daerah asal orang Babylon terletak antara sungai Tigris dan Euphrates dan kini terletak di tenggara Iraq.

Ilmu itu berkembang sejak Babylon kuno 200 tahun sebelum masihi dan secara bertahap.
Amalan dan kepercayaan itu semakin berkembang hingga tahap yang dikenali sebagai horoskop atau Bintang 12 yang mengaitkan keperibadian dengan tarikh lahir berpandukan bintang.

Contohnya bintang Capricorn untuk mereka yang lahir 22 Disember hingga 20 Januari ikut mitos Yunani ialah lambang kambing.
Kambing itu bernama Almateus dan pernah beri air pada Dewa Zeus iaitu dewa tertinggi bagi bangsa kuno ketika kecil.


Oleh itu, bagi mengenang jasa kambing itu ia dijadikan bintang dan bercahaya di langit.
Kesimpulannya, Capricorn itu kambing saja.
Di sini pun banyak kambing, tidak perlu tengok ke langit.
Umat Islam perlu renung sejenak adakah bintang ini sesuai dengan peribadi Muslim.

'Sesuai ke jika umat Islam percaya kepada bintang kambing biri-biri atau lambang orang lelaki gagah tuang air dalam tempayan besar sedangkan banyak perkara lain lebih bermanfaat yang boleh kita fikirkan,' katanya.

Justeru, beliau menasihati kepada umat Islam supaya menjauhi amalan membaca ramalan bintang atau tukang tilik walaupun untuk suka-suka kerana boleh memberi kesan kepada akidah serta amalan solat yang dilaksanakan...

Paling ditakuti kalau ianya menyebabkan kita syirik, maupun sengaja atau tidak.
Tiada maaf untuk mereka yang telah syirik...

Isnin, 2009 Jun 29

Ucapan Takziah


Takziah dari segi istilah bererti menyuruh seseorang dengan bersabar dan mendorongnya dengan pahala yang dijanjikan, memperingati daripada dosa, mendoakan bagi si mati dengan keampunan dan mendoakan bagi orang yang terkena musibah dengan mendapat penggantinya. (Mughni al-Muhtaj: 1/481)

Sudah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat untuk menziarahi keluarga si mati atau orang yang terkena musibah. Amalan ini amatlah digalakkan oleh Islam.

Hukum Takziah
Takziah itu sunat diucapkan kepada mereka yang ditimpa musibah, sebagaimana Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya : "Tiadalah seorang mukmin yang mengucapkan takziah pada saudaranya yang ditimpa musibah, melainkan Allah s.w.t. memberikannya pakaian daripada pakaian kehormatan di hari qiamat." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Adapun takziah itu sunat diucapkan kepada ahli keluarga musibah pada keseluruhannya, sama ada terdiri daripada orang dewasa lelaki dan perempuan atau pun kanak-kanak yang berakal. Akan tetapi tidak boleh mengucapkan takziah itu kepada perempuan yang muda melainkan sesamanya perempuan, suami atau pun mahramnya. Ini kerana ditakuti akan mendatangkan fitnah.

Waktu Dan Jangka Masa Takziah
Sunat mengucapkan takziah kepada ahli keluarga musibah sebelum dan selepas menguburkan si mati. Adapun lebih afdhal mengucapkan takziah itu selepas menguburkan si mati kerana kesibukan ahli keluarga pada menguruskan mayat si mati. Berlainan halnya jika ahli keluarga itu terlalu sedih dan resah sebelum dikuburkan mayat tersebut, maka afdhal didahulukan takziah itu bagi menghilangkan kesedihan dan keresahannya.

Ucapan takziah kepada ahli keluarga musibah itu, hendaklah tidak melebihi kira-kira tiga hari lebih kurang. Kerana dalam jangka masa tiga hari itu, ahli keluarga musibah pada kebiasaannya hati mereka sudah mula tenang dan tidak merasa sedih dan resah lagi. Makruh mengucapkan takziah kepada ahli keluarga si mati selepas berlalunya tiga hari agar tidak menimbulkan lagi kesedihan mereka. Jika salah seorang di antara orang yang mengucapkan takziah dan orang yang diucapkan takziah itu tidak ada pada masa tersebut, maka harus diucapkan takziah itu selepas tiga hari.

Menyediakan Makanan Bagi Ahli Keluarga Si mati
Sunat bagi jiran dan kaum kerabat yang jauh menyediakan makanan untuk ahli keluarga si mati, sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda kepada ahlinya ketika mendapat khabar kematian Saiyidina Ja'far bin Abi Thalib: yang maksudnya : "Kamu buatkanlah makanan bagi keluarga Saiyidina Ja'far, sesungguhnya telah didapati mereka itu kesibukan (atas kematian Saiyidina Ja'far)." (Hadis riwayat Tirmidzi)

Haram menyediakan makanan kepada orang yang meratapi si mati, seperti perempuan yang meraung menangis sambil menampar-nampar pipinya dan merobek-robek pakaiannya. Ini kerana orang yang menyediakan makanan untuk orang yang meratapi itu bekerjasama dalam maksiat. (I'anah At-Thalibin: 2/165)

Adapun bagi ahli keluarga si mati itu sendiri adalah makruh menyediakan makanan dan mengumpulkan orang ramai bagi menjamu jamuan itu, kerana ia boleh menambahkan lagi kesedihan, kesibukan di samping menguruskan jenazah dan ia juga boleh menyerupai perbuatan orang jahiliah dan perbuatan ini juga adalah bid'ah makruhah. Sebagaimana dalam sebuah hadis daripada Jarir bin Abdillah Al- Bajaliy berkata yang maksudnya : "Kami (sahabat) mengiktibarkan berhimpun di tempat ahli keluarga si mati dan mereka (ahli keluarga si mati) membuat jamuan makanan selepas penguburan si mati: itu adalah sebagai satu niyahah (ratapan)." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Adapun jika jamuan makan yang biasa dilakukan itu bertujuan untuk mendapatkan rahmat Allah s.w.t. bagi si mati, maka tujuan itu adalah baik. Jika ahli keluarga si mati itu memberatkan diri dengan berbagai-bagai makanan dengan tujuan riak, bermegah-megah dan perkara-perkara yang boleh membawa kepada riak dan bertujuan untuk meratapi si mati, maka itu adalah perbuatan orang jahiliah.

Lafaz Takziah
Sunat ke atas orang Islam mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah.

Adapun ucapan takziah itu jika ditujukan kepada ahli keluarga yang Islam dan bagi si mati yang Islam, lafaznya adalah seperti berikut : Ertinya: "Semoga Allah membesarkan pahalamu dan kesabaranmu dan semoga Allah memberimu penggantinya."

Ucapan Takziah Bagi Orang Bukan Islam

Harus bagi orang Islam memberi ucapan takziah kepada orang bukan Islam bahkan sunat hukumnya jika mengharapkan Islamnya.

Apabila si mati orang bukan Islam dan ucapan takziah itu ditujukan kepada keluarganya yang Islam, lafaznya ialah seperti berikut : Ertinya: "Semoga Allah membesarkan pahalamu dan kesabaranmu dan semoga Allah memberimu penggantinya."

Akan tetapi haram didoakan bagi mayat orang bukan Islam itu dengan memohon keampunan baginya, walaupun ucapan takziah itu ditujukan kepada keluarga si mati yang Islam. Contoh lafaz mendoakan keampunan yang diharamkan bagi mayat orang bukan Islam itu seperti berikut : Ertinya :"Semoga Allah mengampuni si matimu."

Tidak boleh diucapkan takziah kepada keluarga yang bukan Islam bagi si mati yang Islam itu dengan mendoakannya supaya Allah membesarkan pahala keluarga yang bukan Islam itu. Kerana tiada pahala bagi orang-orang bukan Islam. Tetapi harus diucapkan takziah kepada keluarga bukan Islam itu jika si mati orang Islam dengan lafaz seperti berikut : Ertinya : "Semoga Allah mengampuni si matimu dan membaikkan kesabaranmu." (Mughni Al-Muhtaj: 1/481-482)

Manakala ucapan takziah bagi ahli keluarga bukan Islam dan si mati yang bukan Islam adalah lebih baik ditinggalkan kerana ianya mendoakan orang bukan Islam dengan berkekalan dan sentiasa dalam kekufurannya.

Sebagaimana penjelasan di atas adalah haram bagi umat Islam mengucapkan takziah kepada ahli keluarga yang bukan Islam dengan mendoakan semoga Allah membesarkan pahala mereka. Begitu juga mengucapkan bagi si mati yang bukan Islam dengan mendoakan keampunan. Kerana mendoakan orang-orang bukan Islam itu ada batasnya.

Hukum Mendoakan Orang Bukan Islam
Adalah haram mendoakan orang bukan Islam sama ada dia terdiri daripada keluarga sendiri ataupun sebaliknya, dengan doa yang berbentuk permohonan keampunan dan seumpamanya yang tidak layak disebut bagi orang bukan Islam. Ianya dilarang sebagaimana firman Allah s.w.t. yang tafsirnya : "Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka." (Surah At-Taubah: 113)

Daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa yang berkata yang maksudnya : "Orang-orang Yahudi berpura-pura bersin di majlis Rasulullah s.a.w., dengan tujuan supaya Baginda bersabda dan mendoakan mereka dengan mendapat rahmat Allah – sebagaimana doa bagi orang-orang Islam apabila mereka bersin – Maka Baginda bersabda (kepada orang-orang Yahudi ketika mereka bersin) semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan membetulkan hal ehwal kamu." (Hadis riwayat Tirmidzi)

Daripada hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa tidak harus mendoakan orang bukan Islam agar mereka mendapat keampunan dan rahmat daripada Allah s.w.t. Rahmat Allah s.w.t. itu khusus bagi orang-orang yang beriman. Akan tetapi harus bagi kita mendoakan orang-orang bukan Islam itu supaya mendapat hidayah, taufiq serta beriman kepada Allah s.w.t.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. berkata yang maksudnya : "Thufail bin 'Amr datang kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), Mohonlah (berdoalah) kepada Allah agar ditimpakan keburukan ke atas mereka." Orang-orang menyangka bahawa Baginda akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka Baginda bersabda: "Ya Allah! Berikanlah hidayah kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang-orang Islam." (Hadis riwayat Bukhari)

Sementara hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a. berkata yang maksudnya : "Nabi s.a.w. pernah minta tolong menimba air, lalu ada orang Yahudi yang menimbakan air untuk Baginda. Maka Nabi s.a.w. mendoakannya: "Semoga Allah menjadikanmu tampan selalu." Maka orang Yahudi itu sehingga meninggal dunia tidak pernah kelihatan uban dikepalanya." (Hadis riwayat Ibnu as-Sunni)

Doa-doa seperti di atas ini adalah diharuskan. Tetapi mendoakan orang bukan Islam dengan memohon keampunan dan keselamatan daripada azab dunia dan azab akhirat, maka itu adalah haram.

Pada zaman yang semakin giat membangun ini, bermacam pendapat dan pemikiran yang timbul dan berbagai usaha yang dilakukan terutama sekali dalam strategi-strategi untuk melemah atau menjatuhkan umat Islam, sekaligus terhadap agama Islam itu sendiri.

Budaya-budaya seperti merayakan halloween dan valentine's day, mencurahkan rasa sedih dengan menghidupkan lilin beramai-ramai, bertafakkur atau senyap dalam beberapa minit sebagai mengingati orang yang telah mati atau berkumpul untuk upacara blessing untuk orang bukan Islam yang telah mati dalam upacara remembrance day dan sebagainya. Istilah beramal turut disalahgunakan seperti konsert amal, fun-fair amal dan sebagainya untuk mengaburi mata orang Islam yang kononnya pekerjaan itu adalah usaha yang berkebajikan. Sama ada disedari atau tidak pekerjaan dan acara-acara itu bercampur-aduk dengan berbagai perkara yang membawa kepada kemaksiatan dan dosa.

Hendaklah kita berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara. Berfikir panjang dalam membuat sesuatu keputusan sama ada ianya menyalahi hukum Islam atau tidak. Seperti memperingati kematian orang-orang bukan Islam dan sekaligus mendoakan mereka itu dalam keampunan dan rahmat daripada Tuhan. Perkara inilah yang mesti kita ambil kira kerana ianya sudah jelas dilarang oleh Islam.

Petikan : http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2002/ic2_2002.htm

Hukum Minuman Dimasuki Semut


Orang kata, air yang dimasuki semut ni jika diminum bersama-sama semut tersebut, orang yang meminum’nya juga akan menjadi bodoh seperti semut. Tapi semut tu bodoh ke? Semut lebih bijak dari serangga lain sebenarnya. Apapun jom la kita tanya ustaz yang lebih mengetahui apa hukum minuman yang dimasuki semut dari pandangan Islam.

Soalan:
Bangkai semut yang masuk dalam minuman, apa hukumnya meminum air tersebut?

Jawapan:
Semut adalah binatang yang tidak mengalir darahnya. Bangkai semut adalah najis yang dimaafkan. Namun, masuk semut pada minuman itu, hukumnya ada 2 keadaan:

1) Semut masuk dalam keadaan sudah mati
Semut itu sudah menjadi bangkai tetapi jika masuk atas ikhtiar manusia, seperti memasukkan gula yang ada bangkai semut, maka air itu najis, tidak boleh diminum. Kalau masuk bukan ikhtiar manusia, contoh seperti ditiup angin selagi tidak mengubah sifat air, maka boleh diminum dengan syarat membuang dulu bangkai semut itu.

2) Semut masuk dalam keadaan hidup
Jika semut itu mati sendiri di dalam air, atas sebab ikhtiar manusia, maka air itu najis dan tidak boleh diminum. Ini boleh berlaku kerana air itu ditapis atau memasukkan gula yang ada semut, atau memasukkan air yang di dalam cawan mengandungi semut. Jika bukan dengan ikhtiar manusia, seperti ia masuk dengan sendirinya atau ditiup angin, maka tidak najis dan boleh diminum dengan syarat bangkai semut itu dibuang dahulu.

Wallahua’lam