Halaman


Custom Search

Booking your hotel here!!!

Rabu, 5 Mei 2010

Haram Halal Dalam Facebook

Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-
1)   Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka.  Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami  serba salah.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Rabu, 14 April 2010

Solat Qasar

Maksud Qasar:
Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh diqasarkan.

Hukum Qasar:
Harus berdasarkan kepada dalil berikut:

1. Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud:
“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…”

2. Al-Sunnah yang bermaksud:
‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al-Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?”
Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah-Nya”
(Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)

Jarak Dibenarkan Qasar:
Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.

Syarat Solat Qasar:
1. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.
2. Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer/56 batu).
3. Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
4. Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna).
5. Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.

Jumaat, 9 April 2010

Rezeki

Telah banyak kali rasanya disebutkan oleh ribuan malah jutaan ilmuan Islam di seluruh dunia, bahawa menderma dan bersedeqah itu menambahkan rezeki dan bukan mengurangkannya.

Namun sudah tentu akan tetap wujud individu yang masih belum mampu memperolehi keyakinan bahawa rezekinya akan bertambah apabila menghulurkan sejumlah wang yang diusahakan dengan penat lelah itu.

Ini berlaku biasanya, disebabkan oleh minda individu terbabit yang mengecilkan skop rezeki hanya kepada penilaian naik turun harta dan wang di hadapan mata. Akibat dari itu, apa yang berkurang akan dirasa sentiasa menurun. Perasaan itu terus menerus mengunci dirinya untuk bersedeqah dan menyumbang, malah lebih serius apabila ada sebahagiannya menahan diri dari berbelanja untuk diri dan keluarganya.