Halaman

Jumaat, 12 September 2008

Perkara Yang Boleh Dilakukan Ketika Berpuasa

Seseorang hamba yang taat dan memahami al-Qur'an dan as-Sunnah tidak akan ragu bahawa Allah mengkehendaki kemudahan bagi hambanya dan tidak menginginkan kesulitan. Allah dan Rasul-Nya telah membolehkan beberapa hal bagi orang yang berpuasa, dan tidak menganggapnya sebagai suatu kesalahan jika beberapa perkara tersebut dilakukan. Berikut adalah beberapa contoh perbuatan tersebut beserta dalil-dalilnya:

1. Seorang yang berpuasa dibolehkan memasuki waktu subuh dalam keadaan masih berjunub

Di antara perbuatan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam ketika telah masuk fajar (waktu subuh) adalah masih berada dalam keadaan junub setelah bercampur dengan isterinya. Kemudiannya beliau mandi di dalam waktu subuh dan melaksanakan solat.

Dari Aisyah dan Ummu Salamah radhiallahu 'anhuma (yang ertinya): "Nabi Shalallahu 'alaihi wa Sallam memasuki waktu subuh dalam keadaan junub kerana jima' dengan isterinya, kemudian ia mandi dan berpuasa." (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/123), Muslim (1109))

2. Seorang yang berpuasa boleh bersiwak (memberus gigi)

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): "Kalaulah tidak memberatkan umatku niscaya aku suruh mereka untuk bersiwak setiap kali wudhu". (Hadis Riwayat Bukhori (2/311), Muslim (252))

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam tidak mengkhususkan orang yang berpuasa ataupun yang lainnya, ini sebagai dalil bahawa siwak bagi orang yang berpuasa dan selainnya ketika setiap kali berwudhu' dan solat. (Inilah pendapat al-Bukhari rahimahullah, demikian pula Ibnu Khuzaimah dan selain keduanya. Lihat Fathul Bari (4/158), Shahih Ibnu khuzaimah (3/247), Syarhus Sunnah (6/298))

Begitulah juga berkenaan siwak ini, ianya bersifat umum untuk dilaksanakan seluruh waktu sama ada sebelum zawal (tergelincir matahari) atau setelahnya. Wallahu a'lam.

3. Berkumur-kumur dan memasukan air ke hidung

Perkara ini adalah berdasarkan perbuatan Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam berkumur-kumur dan beristinsyaq di ketika dalam keadaan berpuasa, tetapi melarang orang yang berpuasa berlebih-lebihan ketika istinsyaq (memasukan air ke hidung) Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): "…..bersungguh-sungguhlah dalam beristinsyaq kecuali dalam keadaan puasa." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3/146), Abu Daud (2/308), Ahmad (4/32), Ibnu Abi Syaibah (3/101), Ibnu majah (407), an-Nasa'i (no. 87) dari Laqith bin Shabrah radhiyallahu 'anhu. Sanadnya sahih)

4. Bercumbu dan mencium isteri dalam keadaan berpuasa

Aisyah radhiallahu 'anha pernah berkata: "Rasulullah pernah mencium dan bercumbuber dalam keadaan berpuasa, akan tetapi beliau adalah orang yang paling kuat menahan diri (nafsu)." (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/131), Muslim (1106))

Dalam soal ini, golongan muda dimakruhkan berbuat demikian berbanding yang telah tua.

Abdullah bin Amr bin 'Ash berkata: "Kami pernah berada di sisi Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam, datanglah seorang pemuda lalu berkata: "Ya Rasulallah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa? Beliau menjawab: "Tidak", datang pula seorang yang sudah tua lalu dia berkata: "Ya Rasulullah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa?" Beliau menjawab: "Ya". Sebahagian dari kami pun saling memandang di antara satu dengan yang lain. Maka Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): "Sesungguhnya orang tua boleh menahan dirinya"." (Hadis Riwayat Ahmad (2/185, 221))

5. Mengeluarkan darah dan melakukan suntikan yang tidak mengandungi makanan

Semua ini bukanlah termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan puasa.

6. Berbekam

Pada awalnya, berbekam adalah merupakan salah satu pembatal puasa, namun kemudiannya ia dimansuhkan. Terdapat hadis sahih yang jelas dari Nabi Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bahawa beliau berbekam ketika berpuasa. Ini adalah berdasarkan satu riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma: "Bahawasanya Nabi Shallallahu 'Alaihi wa Sallam pernah berbekam dalam keadaan sedang berpuasa." (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/155 – Fathul Bari), lihat "Nasikhul hadis wa Mansukhuhu" (334-338) karya Ibnu Syahin)

7. Merasai makanan

Merasai makan adalah dibolehkan dengan syarat selagi mana tidak sampai memasuki tenggorokan (tekak dan salur makanan). Ini adalah berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma: "Tidak mengapa merasai cuka atau sesuatu yang lainnya dalam keadaaan sedang berpuasa selagi mana tidak sampai ke tenggorokan." (Hadis Riwayat al-Bukhari secara muallaq (4/154 – Fathul Bari), dimaushulkan (disambungkan/disebutkan sanadnya) oleh Ibnu Abi Syaibah (3/47), al-Baihaqi (4/261) melalui dua jalan. Hadis ini hasan, lihat "Taqliqut Taqliq" (3/151-152))

8. Bercelak dan menitiskan ubat mata dan lainnya yang masuk seumpama

Semua perkara tersebut tidaklah termasuk ke dalam perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, sama ada rasanya dapat dirasai sehingga ke tenggorokan atau tidak, inilah yang dikuatkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah di dalam risalahnya yang bermanfaat "Haqiqatus Shiyam" serta muridnya Ibnul Qoyyim di dalam kitabnya "Zaadul Ma'ad". Imam al-Bukhari berkata di dalam kitab "Shahihnya", Anas bin Malik, Hasan al-Bashri dan Ibrahim an-Nakhai memandang tidak mengapa bagi yang berpuasa."

9. Menyiramkan air dingin ke atas kepalanya dan mandi

Imam al-Bukhari menyatakan di dalam kitab Shahihnya "Bab Mandinya Orang Yang Berpuasa" bahawa, "Ibnu Umar pernah membasahi (membasahi dengan air, untuk mendinginkan badannya kerana haus ketika puasa) bajunya kemudian dia memakainya ketika dalam keadaan berpuasa." Asy-Sya'bi juga pernah memasuki ke bilik mandi dalam keadaan sedang berpuasa. Al-Hasan berkata: "Tidak mengapa berkumur-kumur dan mendinginkan badan dalam keadaan sedang berpuasa."

Dalam suatu riwayat disebutkan,

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam pernah menyiramkan air ke kepalanya dalam keadaan sedang berpuasa kerana dahaga atau kepanasan yang mengeringkan." (Hadis Riwayat Abu Dawud (2365), Ahmad (5/376, 380, 408, 430). Sanadnya sahih)

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan