Halaman

Khamis, 18 September 2008

Saham Akhirat

Perbuatan-perbuatan berikut akan diberikan ganjaran sehingga hari kiamat.

1. Sedekah Naskhah Al-Quran
Tidak kira ada sedekahkan kepada individu ataupun masjid, setiap kali Quran tersebut di baca, maka anda juga akan mendapat ganjarannya.

2. Memberi atau Berkongsi Buku-buku Ilmu Pengetahuan
Contohnya ialah buku sains, matematik atau apa-apa sahaja buku yang memberi pengetahuan berguna. Sekiranya orang membaca dan mengamalkannya, maka anda juga akan mendapat ganjaran pahala.

3. Menanam Pokok
Anda akan mendapat ganjaran pahala bagi setiap makhluk Allah yang menjadikan pokok yang anda tanam sebagai tempat berteduh ataupun sebagai makanan.

4. Mengajar Doa

Jika kita mengajar seseorang membaca doa, walau doa makan sekalipun, maka kita akan mendapat ganjaran setiap kali orang tersebut membaca doa itu.

Ini adalah sebahagian perkara yang boleh dilakukan oleh kita untuk mendapat ganjaran yang berkekalan.

Jumaat, 12 September 2008

Kesilapan Di Bulan Ramadhan

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-
 
1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
 
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam . Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
 
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain . Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
 
4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih . Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.
 
5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.
 
6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
 
7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah . Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
 
8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.
 
9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat . Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
 
10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur . Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu.. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)
 
11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat . Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
 
12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka . Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Oleh Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Jaga Lidah Elak Buat Dosa

KEUPAYAAN lidah memang tidak dijangka. Ia anggota tubuh yang paling baik dan paling buruk selain hati. Lidah hendaklah dikawal daripada berbicara mengenai hal orang lain seperti mengumpat dan membuat fitnah sesama manusia.

Rasulullah s.a.w bersabda pernah bersabda yang bermaksud, "Tidak akan lurus keimanan (istiqomah) seseorang hamba itu sehingga lurus hatinya dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus lidahnya." (Riwayat Ahmad).

Maksud istiqomah ialah tetap teguh di atas jalan yang betul lurus yang membawa keredhaan Allah SWT. Dasar istiqomah adalah istiqomah hati iaitu lurusnya hati di atas tauhid. Apabila hati telah beristiqomah kepada Allah dalam erti kata takut, cinta, tawakkal dan mengagungkan Allah maka seluruh anggota tubuh akan taat kepadanya. Ini ialah kerana hati adalah raja kepada badan manakala anggota badan adalah rakyatnya. Anggota terpenting selepas hati yang mesti diberi perhatian serius agar beristiqomah ialah lidah kerana lidah adalah terjemahan hati yang menggambarkan pemikiran seseorang.

Dalam kitab hadis sahih Muslim pula, dari Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a. katanya, seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah SAW, "Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik?" Jawab Rasulullah SAW, "Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya." (Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a., No Hadis – 33)

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah SAW bersabda: "Seorang hamba (manusia) yang berbicara dengan pembicaraan yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), maka dia akan terlempar ke neraka sejauh antara timur dan barat."

(Abu Hurairah r.a., No Hadis – 2507)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a., Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: "Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT." (Riwayat al-Bukhari)

Dari hadis-hadis di atas, sebaik-baik orang yang berhijrah ialah hijrahnya dengan hati dan lidah. Insya Allah, dengan berhijrah hati dan lidah, perkataan dan perbuatan kita akan menjadi bersih dari segala maksiat, dosa dan syirik seperti kisah khalifah Umar bin al-Khathab r.a. yang menarik untuk kita renungkan bahawa beliau sebelum memeluk Islam dikenali dengan julukan "penghulu para pelaku kejahatan", namun setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin yang disegani, tawaddhu' dan suka menolong orang miskin, menjadi tonggak bagi berkembangnya agama Islam. Hakikatnya hijrah sangatlah berat, kerana di samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan aqidah dan keyakinan agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu dan godaan dari kenikmatan dunia yang fana.

Sayidina Umar al-Khattab r.a. pernah berkata: "Barang siapa banyak bicaranya maka banyak kesalahannya. Orang yang banyak salahnya bererti banyak dosanya sehingga nerakalah sebaik-baik tempat bagi mereka."

Daripada Muaz, Rasulullah bersabda: "Mahukah kamu jika aku katakan kepadamu tentang sendi daripada semua kebaikan?"

Jawab Muaz, "Ya, kami nak tahu." Maka Rasulullah s.a.w menunjukkan sendi kebaikan itu pada lidahnya dan berkata, "Jagalah ini."

Muaz berkata, "Wahai Rasulullah, adakah kami akan mendapat seksaan akhirat daripada ucapan kami?"

Rasulullah menjawab, "Betapa azabnya Muaz, orang yang tersungkur di dalam neraka itu melainkan hasil daripada menabur fitnah melalui lidah mereka. Akhirnya mereka menerima seksaan daripada Allah."

Marilah kita menjaga lidah kita masing-masing. Agar lidah kita tidak menyengat diri sendiri, kerana lidah tidak ubah seperti ular berbisa. Banyak orang binasa akibat perbuatan lidah padahal dulu mereka dihormati kawan-kawannya. (Imam al-Syafie)

Renung-renungkan, dan selamat beramal!

Petua Murah Rezeki

Petua untuk murah rezeki dan dijauhkan kesulitan

Abu Yazid Al Busthami, pelopor sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan keningnya selalu berkerut. Dengan murung lelaki itu mengadu,'Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah lepas saya beribadah kepada Allah. Orang lain sudah lelap, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?'

Sang Guru menjawab sederhana, 'Perbaiki penampilanmu dan ubahlah riak mukamu. Kau tahu, Rasulullah SAW adalah penduduk dunia yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah SAW, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang mem buat orang curiga kepadanya.' Lelaki itu tertunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya.

Mulai hari itu, wajahnya sentiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh. Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah. Keserasian selalu dijaga. Sikapnya ramah,wajahnya sentiasa menguntum senyum bersahabat. Riak mukanya berseri.

Tak heran jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, awal keberhasilan suatu pekerjaan adalah air muka yang ramah dan penuh senyum.Bahkan Rasulullah SAW menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya.

Demikian pula seorang suami atau seorang isteri. Alangkah celakanya rumah tangga jika suami isteri selalu berwajah tegang. Sebab tak ada persoalan yang diselesaikan dengan mudah melalui kekeruhan dan ketegangan. Dalam hati yang tenang, fikiran yang dingin dan wajah cerah, Insya Allah, apapun persoalannya nescaya dapat di atasi. Inilah yang dinamakan keluarga sakinah, yang didalamnya penuh dengan cinta dan kasih sayang.

Perkara Yang Boleh Dilakukan Ketika Berpuasa

Seseorang hamba yang taat dan memahami al-Qur'an dan as-Sunnah tidak akan ragu bahawa Allah mengkehendaki kemudahan bagi hambanya dan tidak menginginkan kesulitan. Allah dan Rasul-Nya telah membolehkan beberapa hal bagi orang yang berpuasa, dan tidak menganggapnya sebagai suatu kesalahan jika beberapa perkara tersebut dilakukan. Berikut adalah beberapa contoh perbuatan tersebut beserta dalil-dalilnya:

1. Seorang yang berpuasa dibolehkan memasuki waktu subuh dalam keadaan masih berjunub

Di antara perbuatan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam ketika telah masuk fajar (waktu subuh) adalah masih berada dalam keadaan junub setelah bercampur dengan isterinya. Kemudiannya beliau mandi di dalam waktu subuh dan melaksanakan solat.

Dari Aisyah dan Ummu Salamah radhiallahu 'anhuma (yang ertinya): "Nabi Shalallahu 'alaihi wa Sallam memasuki waktu subuh dalam keadaan junub kerana jima' dengan isterinya, kemudian ia mandi dan berpuasa." (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/123), Muslim (1109))

2. Seorang yang berpuasa boleh bersiwak (memberus gigi)

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): "Kalaulah tidak memberatkan umatku niscaya aku suruh mereka untuk bersiwak setiap kali wudhu". (Hadis Riwayat Bukhori (2/311), Muslim (252))

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam tidak mengkhususkan orang yang berpuasa ataupun yang lainnya, ini sebagai dalil bahawa siwak bagi orang yang berpuasa dan selainnya ketika setiap kali berwudhu' dan solat. (Inilah pendapat al-Bukhari rahimahullah, demikian pula Ibnu Khuzaimah dan selain keduanya. Lihat Fathul Bari (4/158), Shahih Ibnu khuzaimah (3/247), Syarhus Sunnah (6/298))

Begitulah juga berkenaan siwak ini, ianya bersifat umum untuk dilaksanakan seluruh waktu sama ada sebelum zawal (tergelincir matahari) atau setelahnya. Wallahu a'lam.

3. Berkumur-kumur dan memasukan air ke hidung

Perkara ini adalah berdasarkan perbuatan Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam berkumur-kumur dan beristinsyaq di ketika dalam keadaan berpuasa, tetapi melarang orang yang berpuasa berlebih-lebihan ketika istinsyaq (memasukan air ke hidung) Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): "…..bersungguh-sungguhlah dalam beristinsyaq kecuali dalam keadaan puasa." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3/146), Abu Daud (2/308), Ahmad (4/32), Ibnu Abi Syaibah (3/101), Ibnu majah (407), an-Nasa'i (no. 87) dari Laqith bin Shabrah radhiyallahu 'anhu. Sanadnya sahih)

4. Bercumbu dan mencium isteri dalam keadaan berpuasa

Aisyah radhiallahu 'anha pernah berkata: "Rasulullah pernah mencium dan bercumbuber dalam keadaan berpuasa, akan tetapi beliau adalah orang yang paling kuat menahan diri (nafsu)." (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/131), Muslim (1106))

Dalam soal ini, golongan muda dimakruhkan berbuat demikian berbanding yang telah tua.

Abdullah bin Amr bin 'Ash berkata: "Kami pernah berada di sisi Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam, datanglah seorang pemuda lalu berkata: "Ya Rasulallah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa? Beliau menjawab: "Tidak", datang pula seorang yang sudah tua lalu dia berkata: "Ya Rasulullah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa?" Beliau menjawab: "Ya". Sebahagian dari kami pun saling memandang di antara satu dengan yang lain. Maka Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): "Sesungguhnya orang tua boleh menahan dirinya"." (Hadis Riwayat Ahmad (2/185, 221))

5. Mengeluarkan darah dan melakukan suntikan yang tidak mengandungi makanan

Semua ini bukanlah termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan puasa.

6. Berbekam

Pada awalnya, berbekam adalah merupakan salah satu pembatal puasa, namun kemudiannya ia dimansuhkan. Terdapat hadis sahih yang jelas dari Nabi Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bahawa beliau berbekam ketika berpuasa. Ini adalah berdasarkan satu riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma: "Bahawasanya Nabi Shallallahu 'Alaihi wa Sallam pernah berbekam dalam keadaan sedang berpuasa." (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/155 – Fathul Bari), lihat "Nasikhul hadis wa Mansukhuhu" (334-338) karya Ibnu Syahin)

7. Merasai makanan

Merasai makan adalah dibolehkan dengan syarat selagi mana tidak sampai memasuki tenggorokan (tekak dan salur makanan). Ini adalah berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma: "Tidak mengapa merasai cuka atau sesuatu yang lainnya dalam keadaaan sedang berpuasa selagi mana tidak sampai ke tenggorokan." (Hadis Riwayat al-Bukhari secara muallaq (4/154 – Fathul Bari), dimaushulkan (disambungkan/disebutkan sanadnya) oleh Ibnu Abi Syaibah (3/47), al-Baihaqi (4/261) melalui dua jalan. Hadis ini hasan, lihat "Taqliqut Taqliq" (3/151-152))

8. Bercelak dan menitiskan ubat mata dan lainnya yang masuk seumpama

Semua perkara tersebut tidaklah termasuk ke dalam perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, sama ada rasanya dapat dirasai sehingga ke tenggorokan atau tidak, inilah yang dikuatkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah di dalam risalahnya yang bermanfaat "Haqiqatus Shiyam" serta muridnya Ibnul Qoyyim di dalam kitabnya "Zaadul Ma'ad". Imam al-Bukhari berkata di dalam kitab "Shahihnya", Anas bin Malik, Hasan al-Bashri dan Ibrahim an-Nakhai memandang tidak mengapa bagi yang berpuasa."

9. Menyiramkan air dingin ke atas kepalanya dan mandi

Imam al-Bukhari menyatakan di dalam kitab Shahihnya "Bab Mandinya Orang Yang Berpuasa" bahawa, "Ibnu Umar pernah membasahi (membasahi dengan air, untuk mendinginkan badannya kerana haus ketika puasa) bajunya kemudian dia memakainya ketika dalam keadaan berpuasa." Asy-Sya'bi juga pernah memasuki ke bilik mandi dalam keadaan sedang berpuasa. Al-Hasan berkata: "Tidak mengapa berkumur-kumur dan mendinginkan badan dalam keadaan sedang berpuasa."

Dalam suatu riwayat disebutkan,

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam pernah menyiramkan air ke kepalanya dalam keadaan sedang berpuasa kerana dahaga atau kepanasan yang mengeringkan." (Hadis Riwayat Abu Dawud (2365), Ahmad (5/376, 380, 408, 430). Sanadnya sahih)

http://fiqh-sunnah.blogspot.com