Halaman

Rabu, 25 April 2007

Sifat-sifat Wanita Ahli Syurga

Siapakah wanita yang menjadi ahli Syurga? Apakah ciri-ciri atau sifat-sifat yang menjadi kunci bagi wanita  memasuki syurga?

Sebuah hadis Nabi menyatakan: Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Apabila  seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan),  menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga  melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)

Menurut hadis di atas  sekurang-kurangnya ia telah menggariskan empat dasar atau sifat utama yang  menjadi teras bagi seorang wanita muslimah memasuki syurga, iaitu menunaikan  kewajipannya kepada Allah dalam makna melaksanakan ibadah-ibadah yang diwajibkan  ke atasnya seperti sembahyang, puasa, dan lain-lain ibadah wajib yang mampu  dilaksanakan.
Sebuah hadis menyebutkan bahawa sembahyang adalah perkara  pertama yang akan disoal di hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah  Radhiallahu Anhu, Nabi Sallallahu Alahi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya perkara  yang pertama sekali dikira dari amalan hamba di hari kiamat ialah sembahyang;  sekiranya sembahyang itu sempurna, maka beruntung dan berjayalah dia, dan  sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah dia, kalau kewajipan fardhu masih  kurang, Allah berfirman: Lihatlah adakah amalan-amalan sunat untuk  menyempurnakan kekurangan tersebut. Demikianlah seterusnya dengan amalan yang  lain" (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Disamping menunaikan kewajipan kepada  Allah, menunaikan hak dan kewajipan kepada suami juga merupakan hal yang tidak  boleh diabaikan oleh seorang wanita.

Tertunainya hak dan  tanggungjawab suami barulah akan turun keredhaan dan rahmat Allah kepadanya.  Menjaga kehormatan diri juga merupakan hal yang digariskan oleh hadis di atas.  

Antara hal-hal yang boleh diketegorikan dalam konteks menjaga kehormatan  itu ialah mempunyai sifat pemalu, jika suaminya keluar dia akan menguruskan dan  menjaga dirinya dan harta suaminya dengan amanah. Bila suaminya datang kepadanya  dia akan menjaga mulut daripada menyebutkan perkataan yang tidak elok  didengar.

Sebuah hadis Nabi Sallallahu  Alaihi Wasallam menyatakan bahawa: "Sesungguhnya sopan santun dan keimanan  adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga  akan hilang serentak." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Maksud hadis ini ialah jika  kesopanan atau sifat malu sudah hilang, iman juga akan hilang bersama-samanya.  Betapa besarnya pengaruh antara kesopanan dan keimanan kepada diri seorang  wanita itu, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menegaskan dengan sabda baginda:  "Apabila sesesorang itu terlibat dengan penzinaan, ia bukan lagi seorang  beriman, apabila seseorang itu mencuri ia bukan lagi seorang beriman, apabila  seseorang itu meminum arak ia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu  menyelewing setelah diberi amanah oleh orang lain ia bukan lagi seorang beriman,  dan apabila seseorang diantara kamu menipu ia bukan lagi seorang beriman, oleh  itu berjaga-jagalah!"

Taat kepada suami merupakan satu  lagi sifat wanita yang digambarkan oleh hadis yang dipaparkan di awal makalah  ini. Taat kepada suami adalah tanggungjawab isteri yang wajib di sempurnakan.  

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu  Alaihi Wasallam bersabda: "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa,  bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan  berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi  sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka."  (Hadis riwayat Al Imam Bazzar)

Isteri adalah pusat dan sumber kebahagiaan  dan ketenteraman di dalam sebuah rumahtangga. Ia perlu mempunyai sifat-sifat  sabar dan perhatian yang sepenuhnya kepada suami dan juga anak-anak.

Sikap inilah yang boleh  mewujudkan suasana yang tenang, aman dan damai dalam rumahtangga. Dalam hal ini,  para isteri sayugialah akan sentiasa bersikap baik kepada suami.

Saidina  Abu Bakar Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu Alaihi  Wasallam pernah bersabda: "Seorang wanita yang menyakiti hati suami dengan  lidahnya, dia mendatangkan celaan dan kemurkaan Allah, para malaikat dan umat  manusia."

Selain itu, Saidina Ali Radhiallahu Anhu meriwayatkan sebuah  hadis mengenai setiap isteri yang tidak menghormati status suaminya. "Wanita  yang berkata kepada suaminya yang tidak melihat apa-apa kebaikan pada suaminya,  Allah menghapuskan segala perbuatan baiknya selama 70 tahun, walaupun dia  berpuasa selama itu siang hari dan bersembahyang pada malamnya." (Hadis Riwayat  Imam Majah dan An-Nasai)

Berdasarkan huraian ringkas di  atas, para wanita semestinyalah mengamalkan sikap taat dan bertakwa kepada  Allah, bertanggungjawab kepada suami dan menjaga kehormatan dirinya. Semoga  dengan itu, akan mudahlah mereka mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Rahmat dan  redha Allah itulah yang akan menjamin kebahagian hidupnya di dunia dan di  akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan