Halaman


Custom Search

Rabu, 14 April 2010

Solat Qasar

Maksud Qasar:
Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh diqasarkan.

Hukum Qasar:
Harus berdasarkan kepada dalil berikut:

1. Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud:
“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…”

2. Al-Sunnah yang bermaksud:
‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al-Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?”
Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah-Nya”
(Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)

Jarak Dibenarkan Qasar:
Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.

Syarat Solat Qasar:
1. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.
2. Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer/56 batu).
3. Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
4. Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna).
5. Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.

Jumaat, 9 April 2010

Rezeki

Telah banyak kali rasanya disebutkan oleh ribuan malah jutaan ilmuan Islam di seluruh dunia, bahawa menderma dan bersedeqah itu menambahkan rezeki dan bukan mengurangkannya.

Namun sudah tentu akan tetap wujud individu yang masih belum mampu memperolehi keyakinan bahawa rezekinya akan bertambah apabila menghulurkan sejumlah wang yang diusahakan dengan penat lelah itu.

Ini berlaku biasanya, disebabkan oleh minda individu terbabit yang mengecilkan skop rezeki hanya kepada penilaian naik turun harta dan wang di hadapan mata. Akibat dari itu, apa yang berkurang akan dirasa sentiasa menurun. Perasaan itu terus menerus mengunci dirinya untuk bersedeqah dan menyumbang, malah lebih serius apabila ada sebahagiannya menahan diri dari berbelanja untuk diri dan keluarganya.

Rabu, 7 April 2010

Naungan Allah

Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.” Riwayat at-Tirmidzi